.

Wednesday, August 11, 2010

Hari Belia Antarabangsa

TANGGAL 12 Ogos (hari ini), dunia menyambut Hari Belia Antarabangsa. Berdasarkan Resolusi 54/120 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999, badan dunia tersebut telah mengisytiharkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Belia Antarabangsa. Hari tersebut didedikasikan oleh PBB bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan aktif belia di seluruh dunia kepada pembangunan masyarakat global.

Bermula tarikh ini juga, PBB telah memutuskan untuk mengisytiharkan 2010 sebagai International Year of Youth (IYY) dengan tema Dialogue and Mutual Understanding.

Di Eropah, IYY disambut di Brussel dengan mengajak para belianya berkumpul untuk bersama-sama menikmati jamuan tengah hari ala perkelahan yang dipanggil Picnic Eurotastic bertempat di Royal Park yang terletak di antara Istana Diraja dan Parlimen Belgium. Acara seumpama ini akan dianjurkan di seluruh Eropah oleh para belia memandangkan 2010 merupakan tahun bermulanya IYY.

Di Malaysia, walaupun mungkin tiada sambutan khusus sempena IYY, namun sudah memadai diperuntukkan satu hari khas untuk negara meraikan dan mengiktiraf sumbangan belia iaitu pada 15 Mei setiap tahun di peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai Hari Belia Negara.

Ia disusuli dengan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri dan negara sekali gus menggambarkan kesungguhan mereka meletakkan belia sebagai aset dan modal yang amat berharga bagi Malaysia.

Secara umumnya, belia di mana sahaja mereka berada sentiasa diraikan, diiktiraf, dihargai, didengari, dan diberi perhatian khusus. Terbaru, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia yang bertujuan mengkaji kehendak dan keperluan belia dengan fokus utama kepada generasi Y yang berumur 10 hingga 28 tahun.

Ini bermakna segala program yang dirancang kerajaan berkaitan belia adalah berdasarkan kajian kepada perubahan semasa minda generasi Y yang memberikan impak positif kepada pembangunan negara.

Selain itu, bertepatan dengan pengiktirafan global yang diberikan oleh dunia kepada warga belia melalui IYY, beberapa aspek harus diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka program pembangunan belia agar para belia Malaysia kekal kompetitif dan kompeten untuk bersaing dengan warga belia global yang lain.

Antara yang ingin difokuskan oleh saya adalah aspek pembangunan program kesukarelawanan antarabangsa. Kesukarelawanan mampu membentuk peribadi belia agar menjadi rakyat yang proaktif menyumbang kepada proses pembangunan diri dan negara.

Menurut kajian saya terhadap sekumpulan belia yang pernah terlibat dalam program kesukarelawanan antarabangsa ini, didapati mereka memperoleh pelbagai manfaat dan kualiti seperti pendedahan antarabangsa, jaringan global, pelbagai skil tambahan, peningkatan keyakinan diri, kreativiti, pembukaan ufuk minda, motivasi dan kematangan.

Sebahagian besar elemen-elemen ini, amat sukar diperoleh jika hanya tertumpu dalam bilik darjah dan kuliah, melainkan mereka keluar dan bercampur bersama masyarakat.

Di United Kingdom (UK), projek Gap Years diperkenalkan kepada mahasiswa dan belia bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan sepenuh masa dalam dan luar negara.

Dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan iaitu luar daripada tempoh pembelajaran di universiti atau kolej, mereka diberi peluang sepenuh masa untuk terlibat dalam kerja kesukarelawanan yang dipilih sendiri oleh mereka. Mereka turut diberikan dana dan elaun oleh kerajaan UK.

Sebahagian besar belia di UK memilih untuk melakukan kegiatan sukarela di luar negara kerana ia memberikan mereka peluang untuk mengembara dan melihat sendiri dunia luar. Sebagai sebuah negara maju yang melaksanakan dasar ini, ia ternyata memberikan impak positif kepada para belianya terutama dari segi kelebihan pengalaman, pendedahan, kematangan, pemikiran dan kemandirian.

Di Malaysia, Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) telah melakukan eksperimen kesukarelawanan antarabangsa selama lebih sembilan tahun kepada belia dan mahasiswa. Ternyata hasilnya amat menggembirakan apabila para belia yang lahir daripada program ini mempunyai kualiti dan jati diri yang amat diperlukan dalam menyumbang kepada proses pembangunan negara yang sedang mengorak langkah menuju negara maju menjelang 2020.

Namun begitu, eksperimen yang dilakukan oleh GPTD ini berskala kecil dan dilaksanakan di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Program kesukarelawanan antarabangsa ini, wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat nasional sebagai salah satu agenda dan polisi transformasi pembangunan belia bersepadu.

Ia juga diyakini mampu memenuhi cita rasa dan kehendak belia khususnya generasi Y yang sukakan aktiviti bersifat pengembaraan dan lasak. Di samping itu, bersesuaian dengan tema IYY 2010, ia memberikan peluang kepada belia untuk berinteraksi dan berdialog dengan dunia luar bagi mewujudkan persefahaman dan keamanan sejagat.

Jufitri Joha

Universiti Durham, United Kingdom

1 comment:

  1. salam...bahagia rasa melihat rakan kaunseling sudah mempunyai blog...malah padat dengan info berguna...syabas....teruskan berkarya...blog ana dah masuk majalah pendidik bulan september 2010. ana nak syorkan blog ini pula masuk...

    www.noorhisham.com

    ReplyDelete