.

Sunday, December 13, 2009

Mangkuk yang Cantik, Madu dan Sehelai Rambut

Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Abakar r.a., Umar r.a., Utsman r.a., dan 'Ali r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. istrinya Sayidatina Fathimah r.ha. putri Rasulullah SAW menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).

Abubakar r.a. berkata, "iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".

Umar r.a. berkata, "kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Utsman r.a. berkata, "ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan ber'amal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

'Ali r.a. berkata, "tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Fatimah r.ha.berkata, "seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang ber-purdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yangtak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW berkata, "seorang yang mendapat taufiq untuk ber'amal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, ber'amal dengan 'amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat 'amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Malaikat Jibril AS berkata, "menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Allah SWT berfirman, " Sorga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat sorga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju sorga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Thursday, November 19, 2009

Al Baqarah - 216

Wednesday, November 18, 2009

Kisah Bekas Tahanan Reman Kanak-kanak


KUALA LUMPUR, 18 Nov (BERNAMA) -- Ketika dikepung polis, Paul (bukan nama sebenar) membonceng motosikal kawannya. Kawannya bolos, dia dicekup.

Di dalam bakul motosikal, polis menemui bahan yang disahkan kemudiannya sebagai heroin, seberat 500 gm, kesalahan berat yang boleh dihukum mati (gantung).

Apabila dia dibawa ke mahkamah dan mendengar tuduhan yang dibacakan, Paul menganggap tamat sudah riwayat hidupnya. Dia tidak dibenar jamin dan ditahan reman di Penjara Kajang, sementara menunggu perbicaraan.

Paul bernasib baik kerana dia bukan sahaja tidak sepi daripada sokongan moral dan kasih sayang ibu bapanya tetapi usianya ketika ditangkap ialah 17 tahun dan mengikut undang-undang, dia masih ditakrif kanak-kanak.

Apabila Paul dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Oktober 2009 atas tuduhan yang lebih ringan, dia dibebaskan oleh hakim pada hari yang sama kerana dia sudah meringkuk di dalam penjara untuk tempoh masa yang sama.

Paul ditangkap pada 2004 pada usia 17 tahun dan bebas dari penjara, tiga hari sebelum hari jadinya yang ke-22 tahun.

SEMASA KANAK-KANAK

Ketika kecil, Paul bercita-cita menjadi anggota polis dan dia mempunyai sepasang gari mainan yang sering dibawanya semasa bermain dengan kawan-kawan.

Berbadan tinggi lampai, dia juga unggul dalam bidang sukan semasa di sekolah iaitu dalam acara larian 100 meter dan 200 meter. Paul yakin dia berkebolehan untuk menjadi pelari pecut yang baik jika bakatnya digilap meskipun dia sememangnya malas bersekolah.

Menurut Paul, 'masalah hidupnya' bermula apabila melangkah ke sekolah menengah dan mula merokok.

"Saya bau wangi rokok jadi teringin nak tahu bagaimana rasanya merokok. Saya mula merokok, tak boleh berhenti. Di sekolah tak boleh merokok, jadi saya mula ponteng dan melepak.

"Saya menjadi semakin malas pergi sekolah dan suka melepak, tak fikir masa depan. Saya hanya fikir untuk bersuka-suka sahaja," demikian pengakuan Paul dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

KISAH PONTENG DAN LEPAK

Rekod disiplin Paul menjadi lebih teruk apabila dia berada di tingkatan tiga. Masanya banyak disia-siakan dengan kumpulan lepaknya di kafe siber. Dari wang saku sekolah RM10, RM3 dibelanjakan di kafe siber, RM3 untuk makan sementara RM4 untuk membeli rokok.

Dia memberitahu penulis yang dia akan pergi ke sekolah seperti biasa tetapi hanya sampai pukul 3 petang sebelum dia menyelinap keluar dari pintu belakang kelas.

Tempat lepak pertamanya ialah di kedai makan yang berhampiran setelah menukar kemeja sekolah dengan kemeja-T yang sedia ada di dalam beg sekolah. Habis makan, dia dan kawan-kawan lepaknya akan ke kafe siber sehingga tamat waktu sekolah. Setelah menyarung balik kemeja sekolah, dia akan pulang ke rumah.

"Jika baju sekolah bersih sangat, saya buat kotor-kotor sikit, lepas tu balik ke rumah," jelas Paul dengan menambah di rumah, dia memang berkelakuan baik, 'pijak semut pun tak mati.'

Semasa di tingkatan tiga, pihak sekolah akhirnya menghantar surat kepada ibu bapa Paul mengenai rekod buruknya bermula dari tingkatan satu. Paul memberitahu bapanya kemudian, yang dia tidak mahu lagi bersekolah, sebaliknya dia berminat untuk masuk sekolah vokasional.

Paul bercerita, dia pernah lari dari rumah ketika di tingkatan dua dan bekerja menjual kemeja-T di Jalan Petaling.

"Saya tinggalkan rumah selama enam hingga tujuh bulan dan tinggal di rumah kawan. Pagi saya pergi kerja, tengah hari pergi sekolah. Bapa saya ada cari saya tapi saya selalu lari kalau nampak dia sehingga dia datang ke kelas pada satu hari. Dia duduk sebelah saya dan pujuk saya pulang.

"Bapa saya menangis, dia minta maaf pada saya kalau dia ada buat salah. Masa itu saya terasa juga, saya menangis dan hari itu, saya balik ke rumah," kata Paul, dengan menambah meskipun dia sudah berhenti sekolah, dia masih perlu mengambil peperiksaan PMR kerana dia sudah mendaftar dan membayar untuk peperiksaan itu.

"Saya hanya belajar seminggu sebelum peperiksaan. Bukan serius sangat belajar tapi saya suka Bahasa Malaysia, Sains dan Bahasa Inggeris. Bila guru besar serahkan keputusan peperiksaan, saya terperanjat, saya dapat 6C dan 1D. Guru Besar kata saya boleh jadi pandai kalau saya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

KENA TANGKAP

Selepas berhenti sekolah, Paul terus dengan tabiat buruknya melepak dan menjadi 'pengikut' seorang yang dikatakannya 'kawan jahat'. Hidup bebasnya berakhir apabila dia ditangkap polis dan direman 14 hari sebelum dikenakan tuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurut Paul, tanpa segan-silu, dia menangis apabila melihat ibu bapanya di mahkamah. Dia merayu bapanya memohon ikat jamin kerana dia amat takut dihantar ke penjara.

Memandangkan tuduhan dikenakan ke atas Paul tidak boleh diikat jamin, dia terpaksa dibawa ke Penjara Kajang sementara menunggu perbicaraan.

"Saya hanya pernah tengok penjara dalam cerita Tamil. Dalam cerita itu, saya tengok keadaan di dalam penjara teruk. Saya juga tak pernah merasa begitu takut sehinggalah saya ditangkap.

"Polis kata saya akan digantung. Sampai di penjara pun saya diberitahu perkara yang sama. Setiap malam saya menangis. Saya menyesal, mengapa saya tidak dengar cakap ibu bapa saya dan menjadi anak yang baik," kata Paul sambil mengeluh.

HIDUP DALAM PENJARA

Menurut Paul, tempoh setahun setengah pertamanya dalam penjara berlalu tanpa sebarang aktiviti yang membina.

Dia berkongsi sel penjara dengan 16 orang lagi tahanan yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk membunuh, merogol, menjual VCD haram dan mencuri. Tahanan paling muda berusia 15 tahun kerana dituduh mencuri motosikal.

Tahanan-tahanan ini hanya dibenar keluar dari sel untuk dua perkara sahaja iaitu bertemu dengan ahli keluarga setiap Ahad atau untuk rawatan perubatan.

"Pada awalnya, saya merasa putus asa, fikiran saya kosong dan saya banyak menangis kerana saya fikir saya akan mati di penjara. Ada juga tahanan yang baik hati dan beritahu saya jangan menangis, jangan putus asa. Kami banyak berkongsi kisah hidup kami.

"Selain kata-kata nasihat kawan satu sel, saya juga bernasib baik kerana ibu bapa saya sentiasa menyokong saya. Kali pertama mereka melawat saya, mereka menangis dan saya minta maaf. Mereka suruh saya tabahkan hati dan akan tolong saya carikan peguam," kata Paul.

Anak muda ini juga memberitahu dia banyak bersembahyang (Paul seorang Kristian) dan membaca novel yang dibawa oleh ibu bapanya. Novelis kesukaannya ialah Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan novel 'thriller'nya.

MENCARI DIRI

Kehidupan dalam penjara Paul yang membosankan bertukar apabila pihak Penjara mendapatkan bantuan Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar untuk mengadakan kelas motivasi untuk tahanan reman.

Kelas-kelas itu, yang dimulakan pada 2004 berterusan sehingga 2007. Shelter (www.shelterhome.org) diasaskan pada 1981 untuk membantu antaranya kanak-kanak yang didera, ditinggalkan atau diabai.

Menurut Paul, dia tidak berminat dengan program Shelter pada peringkat permulaan tetapi menyertai kelas tersebut sekadar mengisi masa.

"Apa yang membuka minda saya ialah kami diberitahu kami masih mempunyai peluang. Encik James Nayagam, Pengarah Eksekutif Shelter yang mengasaskan program ini minta kami jangan berputus asa," jelas Paul.

Tambahnya, selepas menghadiri beberapa kelas Shelter, dia mampu melihat ke dalam dirinya, dan merenung kembali segala kesalahan yang telah dilakukannya. Dia juga banyak berfikir tentang keluarganya terutama sekali ibunya yang masih datang melawatnya di penjara meskipun pada satu ketika dia sakit.

"Saya tanamkan tekad saya mesti berubah, saya mesti pilih jalan yang lurus," kata Paul bersungguh-sungguh. Dia juga berlatih bercakap ketika sesi terapi berkumpulan, bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman tetapi juga untuk mengatasi perasaan gentar bercakap di hadapan khalayak ramai.

Paul mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007 semasa masih di dalam penjara tetapi gagal. Namun dia tidak berputus asa dan mengikuti beberapa kelas, iaitu Kemahiran Asas IT dan Asas Grafik Foto.

"Saya merasa begitu bangga apabila menerima sijil Kemahiran Asas IT daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Kalaulah ibu bapa saya boleh melihat saya pada hari itu, sudah tentu mereka juga merasa bangga," kata Paul.

TANDA NOKTAH

Bercakap mengenai pembebasannya dari penjara, Paul berkata masih segar di ingatannya ketika dia berdiri di hadapan hakim. Dia yang biasanya keras hati menitiskan air mata tatkala hukuman dibacakan iaitu lima tahun penjara dari tarikh ditangkap.

"Tuan Hakim beritahu mereka yang datang ke mahkamah biasanya akan menangis tetapi tak semestinya dia menangis dia akan berubah. Perkara ini kena ingat. Hakim juga suruh saya fikirkan ibu bapa saya, mereka bersusah-payah untuk saya. Hakim juga baca laporan akhlak saya dan nasihatkan saya supaya jaga diri saya.

"Hakim juga ingatkan saya jangan ulangi perbuatan lama saya. Beliau kata memang susah nak dapat duit tapi jika dari mula kita susah, kemudian kita akan senang," kata Paul.

Perkara pertama yang Paul lakukan sebaik sahaja bertemu ibu bapanya selepas dibebaskan ialah memeluk erat kedua orang tuanya, setelah tidak dapat berbuat demikian selama lima tahun.

Dia juga berjanji kepada kedua ibu bapanya dia tidak akan melukakan lagi hati mereka.

Paul 'menemui dirinya' melalui proses yang getir, merengkuk lima tahun di sebalik tabir besi. Dia juga sudah meletakkan noktah kepada kehidupan silamnya dan berikrar dia tidak akan lagi menjejakkan kakinya ke penjara.

Anak muda ini sudah bersedia untuk membuka halaman baru dalam diari kehidupannya. Dengan bantuan Shelter, dia sedang mencari peluang pekerjaan untuk membina kehidupan dan membantu ibu bapanya.

Paul mempunyai sijil dalam automekanik. Dia juga bercita-cita mengikuti pengajian undang-undang suatu hari nanti supaya dia boleh membantu mereka yang mungkin mengalami nasib sepertinya.

Kepada mereka yang masih di bangku sekolah, Paul ingin memberi nasihat ini:" Fikir terlebih dahulu kalau mahu melakukan sesuatu yang tidak baik, fikirkan ibu bapa, pengorbanan mereka dan akibat yang terpaksa ditanggung akibat perbuatan yang tidak baik itu. Ingat pepatah Melayu, 'Tepuk Dada Tanya Selera' dan 'Sepandai-pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Ke Tanah juga!'

-- BERNAMA

Sunday, November 15, 2009

" Punyan Bah "


Tuesday, November 10, 2009

Pepatah Arab



مَنْ جَدَّ وَجَدَ

- Man jadda wajada

Sesiapa yang berusaha akan mendapat.

مَنْ زَرَعَ حَصَدَ

- Man zara'a hasada

Sesiapa yang bercucuk tanam akan menuai hasilnya.

مَنْ يَجْتَهِدْ يَنْجَحْ

- Man yajtahid yanjah

Sesiapa yang berusaha akan berjaya.

Saturday, November 7, 2009

17 Kesalahan Berkaitan Sembahyang

"SEMBAHYANG adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya.Sembahyang perlu dipelihara sebaik-baiknya."

Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan sembahyang adalah:

1. Meninggalkan sembahyang.

Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.Allah berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?' Mereka menjawab: "(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat." (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir." (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).

2. Melengah-lengahkan solat.

Firman Allah bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar.Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan menukik empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).

3. Meniggalkan solat berjemaah.

Solat berjemaah adalah wajib kecuali bagi orang yang memiliki uzur yang dibolehkan syarak. Sabda Rasulullah bermaksud: "Siapa yang mendengarkan seruan azan tetapi tidak memenuhinya maka tidak ada solat baginya, kecuali kerana uzur." (Hadis riwayat Ibnu Majah).Allah berfirman, maksudnya: "Dan rukuklah bersama orang yang rukuk." (Surah al-Baqarah, ayat 43).Rasulullah bersabda: "Kemudian aku mengutus (utusan) kepada orang yang tidak solat berjemaah, hingga aku bakar rumah mereka." (Muttafaq Alaih).

4. Tidak thuma'ninah dalam solat

Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

5. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.

6. Mendahului atau menyelisihi imam.

Hal ini boleh menyebabkan solat batal.

Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk... " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat sebelum imam selesai dari salam kedua.

8. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.

Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim)."Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

9. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.

Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat.

10. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.

Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: "Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."

11. Melintas di depan orang yang sedang solat.

Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

12. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.

Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti imam yang sedang rukuk.

13. Tidak langsung mengikuti keadaan imam ketika masuk masjid.

Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itu sedang duduk, sujud atau lainnya.Rasulullah bersabda: "Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah!" (Hadis riwayat Abu Daud).

14. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

15. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.

Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata.Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

16. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

17. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.

Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki." (Muttafaq Alaih)



wallahualam

Wednesday, November 4, 2009

e-Kasih tentukan kelayakan pelajar terima bantuan

UTUSAN MALAYSIA 04/11/2009 2:47pm

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Sistem e-Kasih akan tetap menjadi panduan utama kerajaan dalam menentukan seseorang pelajar sekolah itu layak menerima bantuan kewangan atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sistem yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara itu lebih adil apabila ia berjaya menghakis berlakunya ketirisan dalam kerajaan mengeluarkan wang untuk bantuan pelajar sekolah.

Katanya, ia terbukti berjaya apabila berdasarkan bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan hanya mengeluarkan wang sejumlah RM2.8 bilion berbanding RM3.6 bilion bagi 2009. - Utusan

Sunday, November 1, 2009

Nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar RA

Rasulullah s.a.w menasihati Abu Zar r.a: "Hai Abu Zar, perbaharui perahumu, kerana lautan terlalu dalam. Sediakan bekal secukupnya, kerana perjalananmu amat jauh. Ringankan bebanmu, sebab pendakian terlalu sulit dan bersihkan amalmu, sebab pemeriksaannya sangat teliti".

Wednesday, October 7, 2009

Rahsia Pemuda Memandikan Babi

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.

Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.

Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

"Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Tuesday, October 6, 2009

Guru saman pengetua yang didakwa menjejaskan reputasinya


06/10/2009 7:01pm

KUANTAN 6 Okt. — Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.

Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari ini, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 Nov. ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan penyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.

Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.

Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Feb. 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009.

Beliau juga mendakwa tidak pernah diberikan peluang membela diri kerana tidak dipanggil atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya itu. - Bernama

Monday, October 5, 2009

GAMBAR GEMPA BUMI DI PADANG


BERSYUKURLAH KERANA KITA HIDUP DI BUMI MALAYSIA YANG TERJAUH DARIPADA BENCANA SEUMPAMA INI. INSAFLAH AKAN KEKUASAAN ALLAH SWT. GEGARAN SELAMA 2 MINIT MENGAKIBATKAN BERLAKU KEMUSNAHAN YANG TERUK.






























Aksi Pagi Aidilfitri

Saturday, October 3, 2009

10 PESANAN ALLAH S.W.T KEPADA NABI MUSA


Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir bin Abdillah r.a. berkata Rasulullah S.A.W bersabda :
"Allah S.W.T. telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :

  • Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahawa aku telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang-orang musyrikin.
  • Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.
  • Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.
  • Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.
  • Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.
  • Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.
  • Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.
  • Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.
  • Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.
  • Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah S.W.T memilih hari Juma'at sebagai hari raya untukku."

Wednesday, September 16, 2009

Maaf Zahir Batin

Tuesday, September 8, 2009

Apa Keistimewaannya 09/09/09

Ada apa dengan no. 9...

Bagi orang Islam, no. 9 berkait rapat dengan 99 nama Allah (Asma Al-Husna). Selain itu, no. 9 juga amat bermakna bagi orang Islam kerana bulan Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalender Hijrah yang merupakan bulan yang di tunggu-tunggu oleh orang Islam di seluruh dunia untuk menunaikan ibadah puasa. Banyak keistimewaan yg terdapat dlm bulan Ramadhan yg tidak diperolehi di dalam bulan-bulan yg lain seperti bulan di mana Al-Quran diturunkan kpd Nabi Muhammad S.A.W., terdapatnya 1 malam yg dinanti-nantikan iaitu Malam LailatulQadr, hanya di bulan Ramadhan umat Islam berpeluang menunaikan solat sunat Tarawikh dan lain-lain lagi.

Bagi orang China pula, jika no. 8 membawa maksud Kekayaan atau Prosperity, no. 9 membawa maksud panjang umur. Mengikut sejarah dahulu kala lagi, maharaja-maharaja China sering menggunakan no. 9 ini sebagai simbol kekuatan termasuklah dalam segala ukiran dan baju DiRaja di mana terdapat 9 ekor naga terukir di setiap sudut. Malah, Kompleks DiRaja di Beijing's Forbidden City dikatakan telah dibina dengan 9999 buah bilik...menarik!

Walau bagaimanapun, bagi orang Jepun, no. 9 membawa maksud Penderitaan dan tidak bernasib baik. Sebab apa tafsiran mereka begitu? Mungkin sebab Nagasaki telah dibom pada 9 Ogos 1945. No. 9 telah menjadi mimpi ngeri bagi seluruh rakyat Jepun... Lebih dahsyat lagi, orang Jepun akan menjauhi no. 9 ni tidak kiralah dalam memilih no. bilik di hotel ataupun no. wad di hospital...agak menyeramkan...

Bagaimana pula dgn rakyat Malaysia? No. 9 adalah simbol pertolongan dan keselamatan...setuju? Apa tidak nya, jika ada jenayah ke, kebakaran ke, dera ke, no apa yg mereka akan dail? Sudah pasti 999... Selain itu, satu-satunya negeri yg menggunakan no. sebagai nama adalah Negeri Sembilan.


Magik Matematik

Jumlah 2 digit hasil daripada mana-mana 1 no. yg didarabkan dgn 9 pasti akan mendapat angka 9. Cth: 5x9=45, 4+5=9

Hasil darab 9 dgn 2, 3 atau 4 digit no dan kemudiaannya ditambahkan sehingga menjadi 1 digit, pasti jawapannya adalah 9. Cth: 9x157=1413, 1+4+1+3=9

9 September juga merupakan hari yang ke 252 dalam kalender Masihi, 2+5+2=9. Menarik kan?

No. 9 juga sering digunakan sebagai kaedah pemasaran paling berkesan dlm meletakkan harga berdasarkan harga psikologi. Anda pergi la ke mana-mana hypermarket, pasti no. 9 banyak digunakan. Cth: bawang merah RM1.99 sekilogram dan secara automatik pengguna akan melihat yang ada 9 di belakangnya adalah lagi murah. Sungguh berpengaruh no. 9 ni ye...

PMFEP, UKM
http://mypmfep.blogspot.com

Monday, September 7, 2009

25 PESANAN LUQMANUL HAKIM KEPADA ANAK-ANAK


Pesanan #1:

“Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”

1 - dunia ibarat laut yang dalam

Pesanan #2:

“Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”

2 - terima nasihat

Pesanan #3:

“Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”

3 - tawadduk

Pesanan #4:

“Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”

4 - baja bagi tanaman

Pesanan #5:

“Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”

5 - hutang

Pesanan #6:

“Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”

6 - putus asa dari rahmat Allah

Pesanan #7:

“Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”

7 - pendusta akan hilang kpercayaan

Pesanan #8:

“Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.”

8 - jiran tetangga yang jahat

Pesanan #9:

“Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”

9 - orang bodoh sebagai utusan

Pesanan #10:

“Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”

10 - dusta dan daging burung

Pesanan #11:

“Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”

11 - pilih majlis

Pesanan #12:

“Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”

12 - jangan makan sampai kenyang

Pesanan #13:

“Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”

13 - pahit dan manis

Pesanan #14:

“Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”

14 - makan bersama orang yang bertakwa

Pesanan #15:

“Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”

15 - ilmu untuk diamalkan

Pesanan #16:

“Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”

16 - mencari kawan sejati

Pesanan #17:

“Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”

17 - bertutur dengan baik dan sopan serta bermanis muka

Pesanan #18:

“Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”

18 - pilih teman yang berharap

Pesanan #19:

“Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”

19 - jangan riya' dan mengharapkan sanjungan

Pesanan #20:

“Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”

20 - jangan condong kepada dunia

Pesanan #21:

“Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”

21 - berdiam diri lebih baik dari berkata yang kotor

Pesanan #22:

“Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.”

22 - berjalan tanpa tujuan dan mensia-siakan harta

Pesanan #23:

“Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”

23 - disayangi dan tiada penyesalan

Pesanan #24:

“Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”

24 - bergaul rapat dengan orang yang alim dan berilmu

Pesanan #25:

“Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”

Thursday, August 27, 2009

40 Kesilapan Ibu Bapa Mendidik Anak

PERNAHKAH terfikir bahawa sebagai orang tua, banyak perkara yang dilakukan salah dalam mendidik anak-anak?

Pakar motivasi dan psikiatri sering mencari punca mengapa anak-anak menjadi liar, tidak mendengar kata, melawan orang tua dan pelbagai salah laku oleh segelintir anak-anak terhadap kedua ibu bapa mereka.

Dalam mendidik anak, mungkin cara ibu bapa salah. Dalam proses tumbesarannya, anak-anak pasti melalui pelbagai perkara yang mungkin boleh membuat mereka terdorong melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Apabila melihat kelakuan anak-anak itu, semestinya ia dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.

Justeru, mari kita selidik kesilapan ibu bapa sehingga menyebabkan kesan negatif anak-anak. Antaranya:

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak.

6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

9. Kurang melahirkan kasih sayang.

10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah.

12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.

14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak.

16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal.

18. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak.

19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak.

21. Tidak menggunakan bahasa yang betul.

22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat.

25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

28. Tidak menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak.

29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak.

34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.A

37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak.

38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

39. Tidak tegas mendidik anak-anak.

40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

Wednesday, August 26, 2009

Pencegahan Gangsterism

Faktor Pelajar Terjerumus

* Pengaruh kawan atau rakan yang terlibat dalam kumpulan jahat di sekolah atau di luar sekolah.
* Remaja atau pelajar yang kurang keyakinan pada diri sendiri ("low self-esteem").
* Direkrut secara paksa oleh ahli-ahli kongsi gelap.
* Mereka yang kurang mendapat perhatian atau kawalan ahli-ahli keluarga.

Langkah Pencegahan

* Semua pihak memainkan peranan penting untuk membasmi kegiatan "gangsterism" di sekolah:pelajar, ibubapa, pihak sekolah, polis dan semua ahli masyarakat.
* Orang ramai bekerjasama dengan memberi maklumat tentang penglibatan pelajar dalam kegiatan yang tidak sihat.
* Ibu bapa atau penjaga hendaklah memberitahu pihak sekolah atau polis sekiranya mengesyaki ahli keluarga terlibat dalam "gangsterism" di sekolah.
* Menggalakkan mangsa-mangsa tampil ke hadapan membuat pengaduan kepada pihak sekolah seterusnya kepada polis.
* Ibu bapa atau penjaga hendaklah memberi sokongan ke atas setiap tindakan pihak sekolah atau polis dalam menangani kegiatan "gangsterism" yang melibatkan ahli keluarga mereka.
* Pelajar jangan bergaul dengan bukan pelajar yang karektornya diketahui bersifat penjenayah atau mencurigakan.
* Pelajar hendaklah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.

Monday, August 24, 2009

Doa Dalam Irama

Monday, August 17, 2009

MUSIBAH YANG MEMILUKAN

KEPADA ANDA YANG TELAH TERBELI ATAU MEMPEROLEHI SEBUAH LAPTOP LENOVO PUTIH PROCESSOR INTEL ATOM BESERTA BROADBAND CELCOM SIM CARD NO 0139801692, MINTA EMAILKAN KEPADA SAYA FOTO-FOTO DALAM FOLDER 3 PADA DEKSTOP. KESEMUANYA TELAH DICURI SEMASA SAYA SEDANG MENUNGGU SOLAH ASAR DI MASJID ASSYAKIRIN KLCC PADA 17 OGOS 2009- JAM 4.20 PTG. AMBILLAH LAPTOP DAN BROADBAND ITU CUMA KEMBALIKAN FOTO-FOTO BERKENAAN SAHAJA KERANA IANYA AMAT BERMAKNA KEPADA MURID-MURID SAYA YANG MENYERTAI ROMBONGAN KE KL PADA HARI ITU.
Email : mcrp67@gmail.com atau tel : 0199376510
SAYA MEMOHON DAN MERAYU.

Saturday, August 15, 2009

HARI PERTAMA KEMBARA MERDEKA


Di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa - Perjalanan menuju ke pesawat AirAsia untuk penerbangan ke LCCT Kuala Lumpur.


Pesawat Air Asia AK 5287 untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.


Afiqah Nabila memakai "face-mask" untuk keselamatan sepanjang penerbangan.


Dah tiba pun di LCCT setelah 55 minit dalam penerbangan. menaiki Sky Bus menuju ke KL Sentral. Seronok sakan nampak kawan-kawan kita ni.


Inilah Sky Bus milik Syarikat Penerbangan Air Asia. Tiket bas pun kena beli secara online sekarang.


Jangan berebut-rebut. Berbaris dan naiklah perlahan-lahan.


Bergambar di lobby Hotel Florida, KL Sentral.


Gambar dalam LRT menuju ke Stadium Bukit Jalil. Che Mohd Adam dan Aidiel tersenyum kegembiraan semasa berada dalam LRT.


Dah tiba pun ke Bukit Jalil. Boleh jalan-jalan tengok stadium.

Bergambar didepan banner program rakan muda yang baru sahaja selesai diadakan di Stadium Bukit Jalil ini.

LRT dari Stesyen Masjid Jamek ke Stesyen Bukit Jalil.


Menaiki eskelator turun ke perkarangan Stesyen LRT Bukit Jalil.


Seronok bergambar di stesyen LRT.

Baik-baik turun tangga tu. Nanti terjatuh tak dapat ke KLCC pagi besok.