.

Wednesday, August 11, 2010

Hari Belia Antarabangsa

TANGGAL 12 Ogos (hari ini), dunia menyambut Hari Belia Antarabangsa. Berdasarkan Resolusi 54/120 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999, badan dunia tersebut telah mengisytiharkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Belia Antarabangsa. Hari tersebut didedikasikan oleh PBB bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan aktif belia di seluruh dunia kepada pembangunan masyarakat global.

Bermula tarikh ini juga, PBB telah memutuskan untuk mengisytiharkan 2010 sebagai International Year of Youth (IYY) dengan tema Dialogue and Mutual Understanding.

Di Eropah, IYY disambut di Brussel dengan mengajak para belianya berkumpul untuk bersama-sama menikmati jamuan tengah hari ala perkelahan yang dipanggil Picnic Eurotastic bertempat di Royal Park yang terletak di antara Istana Diraja dan Parlimen Belgium. Acara seumpama ini akan dianjurkan di seluruh Eropah oleh para belia memandangkan 2010 merupakan tahun bermulanya IYY.

Di Malaysia, walaupun mungkin tiada sambutan khusus sempena IYY, namun sudah memadai diperuntukkan satu hari khas untuk negara meraikan dan mengiktiraf sumbangan belia iaitu pada 15 Mei setiap tahun di peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai Hari Belia Negara.

Ia disusuli dengan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri dan negara sekali gus menggambarkan kesungguhan mereka meletakkan belia sebagai aset dan modal yang amat berharga bagi Malaysia.

Secara umumnya, belia di mana sahaja mereka berada sentiasa diraikan, diiktiraf, dihargai, didengari, dan diberi perhatian khusus. Terbaru, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia yang bertujuan mengkaji kehendak dan keperluan belia dengan fokus utama kepada generasi Y yang berumur 10 hingga 28 tahun.

Ini bermakna segala program yang dirancang kerajaan berkaitan belia adalah berdasarkan kajian kepada perubahan semasa minda generasi Y yang memberikan impak positif kepada pembangunan negara.

Selain itu, bertepatan dengan pengiktirafan global yang diberikan oleh dunia kepada warga belia melalui IYY, beberapa aspek harus diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka program pembangunan belia agar para belia Malaysia kekal kompetitif dan kompeten untuk bersaing dengan warga belia global yang lain.

Antara yang ingin difokuskan oleh saya adalah aspek pembangunan program kesukarelawanan antarabangsa. Kesukarelawanan mampu membentuk peribadi belia agar menjadi rakyat yang proaktif menyumbang kepada proses pembangunan diri dan negara.

Menurut kajian saya terhadap sekumpulan belia yang pernah terlibat dalam program kesukarelawanan antarabangsa ini, didapati mereka memperoleh pelbagai manfaat dan kualiti seperti pendedahan antarabangsa, jaringan global, pelbagai skil tambahan, peningkatan keyakinan diri, kreativiti, pembukaan ufuk minda, motivasi dan kematangan.

Sebahagian besar elemen-elemen ini, amat sukar diperoleh jika hanya tertumpu dalam bilik darjah dan kuliah, melainkan mereka keluar dan bercampur bersama masyarakat.

Di United Kingdom (UK), projek Gap Years diperkenalkan kepada mahasiswa dan belia bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan sepenuh masa dalam dan luar negara.

Dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan iaitu luar daripada tempoh pembelajaran di universiti atau kolej, mereka diberi peluang sepenuh masa untuk terlibat dalam kerja kesukarelawanan yang dipilih sendiri oleh mereka. Mereka turut diberikan dana dan elaun oleh kerajaan UK.

Sebahagian besar belia di UK memilih untuk melakukan kegiatan sukarela di luar negara kerana ia memberikan mereka peluang untuk mengembara dan melihat sendiri dunia luar. Sebagai sebuah negara maju yang melaksanakan dasar ini, ia ternyata memberikan impak positif kepada para belianya terutama dari segi kelebihan pengalaman, pendedahan, kematangan, pemikiran dan kemandirian.

Di Malaysia, Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) telah melakukan eksperimen kesukarelawanan antarabangsa selama lebih sembilan tahun kepada belia dan mahasiswa. Ternyata hasilnya amat menggembirakan apabila para belia yang lahir daripada program ini mempunyai kualiti dan jati diri yang amat diperlukan dalam menyumbang kepada proses pembangunan negara yang sedang mengorak langkah menuju negara maju menjelang 2020.

Namun begitu, eksperimen yang dilakukan oleh GPTD ini berskala kecil dan dilaksanakan di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Program kesukarelawanan antarabangsa ini, wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat nasional sebagai salah satu agenda dan polisi transformasi pembangunan belia bersepadu.

Ia juga diyakini mampu memenuhi cita rasa dan kehendak belia khususnya generasi Y yang sukakan aktiviti bersifat pengembaraan dan lasak. Di samping itu, bersesuaian dengan tema IYY 2010, ia memberikan peluang kepada belia untuk berinteraksi dan berdialog dengan dunia luar bagi mewujudkan persefahaman dan keamanan sejagat.

Jufitri Joha

Universiti Durham, United Kingdom

Sunday, August 8, 2010

Ramai pelajar tidak pakai topi keledar



Pelajar perempuan yang mengabaikan keselamatan diri dengan menunggang motosikal tampa topi keledar di Kota Bharu semalam. - Utusdan/Rosni Masri

















KOTA BHARU 8 Ogos - Hasrat Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan pelajar sekolah yang tidak mematuhi peraturan jalan raya amat wajar dijalankan.

Ini kerana, penggunaan motosikal di kalangan pelajar kini sudah menjadi perkara biasa, cuma ramai daripada mereka kurang mengutamakan aspek keselamatan, tidak memakai topi keledar.

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah sekolah di sini mendapati, ramai pelajar tidak kira lelaki atau perempuan menunggang motosikal dengan cara berbahaya selain tidak memakai topi keledar.

Pengawal yang sepatutnya berkawal di pintu pagar sekolah untuk menjaga keselamatan pelajar ketika menyeberang jalan, juga tidak kelihatan.

Wartawan dan jurugambar yang berada di sekolah itu kira-kira 12.45 tengah hari ini untuk merakamkan 'aksi' mereka turut dikejutkan dengan sikap ibu bapa yang mengambil mudah aspek keselamatan ketika mengambil anak-anak mereka dengan motosikal.

Mana tidaknya, ketika ibu atau bapa berkenaan menggunakan topi keledar, anak yang membonceng di belakang dibiarkan tanpa memakai topi keselamatan tersebut.

Keadaan jalan di kawasan sekolah itu yang pada mulanya lengang, menjadi semakin sesak kira-kira 1.15 petang selepas tamat waktu persekolahan apabila ibu bapa datang dan meletakkan kenderaan di tepi jalan bagi menunggu anak masing-masing.

Walaupun pintu pagar sekolah berkenaan betul-betul berhampiran tepi jalan yang sesak, namun pelajar-pelajar yang menunggang motosikal ini dengan selamba mencelah dan memotong kenderaan lain yang bertali arus dengan cara berbahaya.

Seorang pelajar yang ditemui, Noor Azrah Mohd. Shoeb, 17, berkata, pemandangan tersebut adalah perkara biasa yang berlaku pada setiap pagi dan selepas sesi persekolahan.

Noor Azrah yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagaimanapun memilih untuk berjalan kaki ke sekolah memandangkan dia sendiri tidak mempunyai lesen.

"Ayah juga tidak membenarkan saya menggunakan motosikal dan kadang-kadang dia akan datang ambil," katanya.

Wan Mohd. Amirul Idzwan, 16, pula mengakui dia mengenali beberapa rakan yang tidak mempunyai lesen tetapi mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka untuk menggunakan motosikal ke sekolah.

Semalam, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata, pihaknya akan melancarkan satu operasi besar-besaran bagi mengesan pelajar yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau berkata, operasi selama enam bulan itu akan dilakukan di semua sekolah di seluruh negara dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, operasi itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pelajar selain sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka.

Wednesday, August 4, 2010

Enam petua untuk berjaya


APAKAH sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapa mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan, sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis menemui jawapan ini dalam buku Tough Times Never Last, But Tough People Do oleh Dr. Robert H. Schuller. Justeru, penulis ingin berkongsi dengan pembaca akhbar Utusan Malaysia untuk menuju kejayaan. Keenam-enam petua ini adalah dipetik daripada buku tersebut.

1. SETIAP INSAN YANG HIDUP MEMPUNYAI MASALAH

Apakah masalah yang anda hadapi sekarang? Adakah ia disebabkan kerana anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan, semua masalah akan lenyap. Umum tahu bahawa mereka yang mempunyai pekerjaan juga mempunyai banyak masalah.

Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun awal pagi untuk pergi ke tempat kerja pada setiap hari bekerja. Terdapat juga ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai pula ketua yang menghadapi masalah, sama ada dari segi perhubungan antara kakitangan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi, bagaimanakah keadaan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, malah ia melahirkan satu masalah yang baru pula. Kita haruslah terima keadaan ini sebagai satu hakikat hidup seharian di dunia ini.

2. JANGKA MASA TERHAD

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh ke belakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kemanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju ke mercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. SETIAP MASALAH HARUS MEMPUNYAI PENGARUH POSITIF

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun untuk orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal bisnes yang menguntungkan orang lain.

Sebagai contoh, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang penasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai seorang muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain pula.

4. SETIAP MASALAH BOLEH UBAH SIKAP ANDA

Sebagai contoh, kita kadangkala bersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi apabila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenarnya, dia dahulu bekerja sebagai seorang guru. Tetapi bagi dia, kerjaya guru menjemukan sehinggakan telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya dan akhirnya diberhentikan kerja.

Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, dia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini, dia bersyukur kerana peristiwa dibuang kerja telah membuatkan dia berasa sangat marah sehingga dia bertekad untuk terus berusaha sehingga berjaya.

5. PILIHAN MENGAWAL MASALAH

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, ini bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda sendiri untuk menentukannya.

6. SETIAP MASALAH MEMPUNYAI TINDAK BALAS

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Ini kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini, apakah tindakan positif yang harus diambil? Melarikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum arak sehingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang.

Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil adalah secara undang-undang dan terhormat, iaitu menerima perintah diisytiharkan sebagai seorang muflis oleh mahkamah.

Ringkasnya, sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya.

PENULIS adalah seorang bekas pengurus di sebuah syarikat GLC

Monday, August 2, 2010

Jangan Jadi Ibu Bapa Bertoksik - Pengasih


Oleh Nurul Halawati Azhari


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pengalaman Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) selama 18 tahun merawat dan memulihkan penagih dadah mendapati amalan keibubapaan yang kurang baik menjadi antara punca kepada masalah tingkah laku anak mereka.

Menurut Presiden Pengasih Yusuf Pathi, apabila anak-anak disakiti emosi, fizikal dan rohaninya oleh ibu bapa, adik-beradik atau anggota keluarga yang lain, akan meninggalkan kesan mendalam serta menjejaskan pertumbuhan psikologi anak-anak itu.

Ada ibu bapa yang melepaskan kemarahan serta bebanan kepada anak atau bertengkar di hadapan mereka. Bila abang dan kakak mempunyai masalah, ia dilepaskan kepada adik.

"Ada juga ibu bapa yang melakukan penderaan fizikal, seksual selain mengabaikan keperluan emosi anak-anak. Selain hubungan yang tidak mesra di antara adik-beradik," tambah Yusuf.

Gaya keibubapaan negatif yang diamalkan oleh ibu bapa ini `bertoksik' dan akan diturunkan kepada anak mereka.

"Tanpa disedari, keibubapaan negatif di rumah menyebabkan anak hilang pertimbangan. Ibu bapa bertoksik ini mencederakan anak-anak melalui perlakuan, perbuatan serta kata-kata mereka."

ELAK TOKSIK DALAM KELUARGA

Selain itu, Yusuf juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sikap terlalu mengkritik juga boleh menjurus kepada kecacatan kendiri anak.

"Ibu bapa janganlah terlalu ego. Mungkin mereka bijak, tetapi janganlah meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak. Ada anak tidak boleh berjaya dalam bidang akademik, tapi mereka boleh berjaya dalam bidang lain.

"Kita sebagai ibu bapa mesti jujur dengan anak serta tidak meletakkan peraturan yang mengelirukan mereka," tambahnya.

ANAK-ANAK KITA DALAM RISIKO

Sikap dan perilaku ibu bapa yang melampau seperti masuk campur dalam hal anak, terlalu mengongkong, memaksa kehendak mereka pada anak, membuat tuntutan yang tidak realistik, membuat peraturan yang mengelirukan, membezakan kasih sayang ialah antara sikap keibubapaan yang perlu dielakkan.

Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu menambah pengetahuan mereka mengenai dunia anak-anak hari ini. Sikap ambil tahu penting supaya mereka tidak mudah ditipu atau diperdaya anak sendiri.

"Anak-anak kita hari ini ialah anak-anak yang bermaklumat. Setiap daripada mereka menghadapi risiko, jadi ibu bapa juga perlu mengubah cara pemikiran mereka dengan menerima perubahan zaman dan mendidik anak secara seimbang. Kita kena faham tentang jiwa remaja," jelas Yusuf.

Ibu bapa juga perlu peka terhadap tanda-tanda awal remaja yang berisiko, contohnya, apabila anak mula renggang dengan ibu bapa, tidak dapat bertentang mata bila berkomunikasi, mula memberontak, terlalu berahsia dan sebagainya.

BERMULA DARI RUMAH

Mahu atau tidak, ibu bapa perlu menjadi contoh baik buat anak-anak, membimbing dan melatih anak dalam membuat keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah, mengetahui apa yang anak lakukan serta perkembangannya selain perlu mengenali rakan sebaya anak.

Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana rumah yang harmoni. Ini dapat dicapai melalui diskusi dengan anak tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar masalah anak.

Misalnya, solat berjemaah dengan anak-anak untuk menerapkan nilai agama dan kebersamaan yang boleh melahirkan anak cemerlang.

MENDIDIK SATU PROSES BERULANG

Proses mendidik dan membentuk anak yang cemerlang ialah proses berulang dan memerlukan kesabaran.

Menurut Dr Yahya Don daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur, mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak boleh wujud dalam diri setiap ibu bapa.

"Ada ibu bapa yang merungut seperti " Sudah berbuih mulut saya menegur atau menyuruh anak saya berubah, tetapi masih begitu juga".

"Persoalannya, berapa kerapkah ibu bapa menegur atau membimbing mereka? Adakah mereka ditegur dengan cara yang betul?

"Atau adakah mereka sudah melaksanakannya setiap hari atau sudah melebihi 20 kali? Proses ini perlu berlaku secara kerap," ulas Dr Yahya.

Masalah lain yang sering dihadapi ialah sikap tidak sabar ibubapa untuk melihat anak mereka berubah dalam sekelip mata atau dalam tempoh beberapa hari.

Dr Yahya berpendapat perubahan tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu. Cepat atau singkat perubahan tingkah laku bergantung kepada pengaruh motivasi dan persekitaran anak-anak.

Ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Tetapi, akibat sikap tidak sabar untuk melihat perubahan serta merta, berlakulah tindakan seperti menampar, mengherdik, merotan dan sebagainya.

Kesannya akan berlaku kerenggangan di antara anak-anak dengan ibu bapa, hilang motivasi, dendam, murung, stres, tingkah laku ganas dan sebagainya.

"Perlu diingat anak-anak bukanlah robot yang boleh diubah berdasarkan kepada kemahuan kita. Kadang-kadang apa yang ditegur hari ini mungkin, akan memberi kesan perubahan diri mereka, lima atau 10 tahun akan datang.

"Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlulah bersabar dan yang penting, amanah dan tanggungjawab kita untuk menegur, membimbing dan mendidik anak-anak perlu dilaksanakan dan jangan merungut."

LEPAS TANGAN

Malah ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil sikap lepas tangan atau memindahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada orang lain. Contohnya kepada pihak sekolah atau guru-guru yang sudah terlalu banyak komitmen dan tanggungjawab seharian.

Dr Yahya juga menyentuh sikap ibu bapa yang sedia maklum dengan sikap negatif anak di sekolah tetapi sengaja menutup mata dan telinga mereka.

Menurutnya, ada ibu bapa yang maklum tentang sikap dan prestasi anak di sekolah tetapi mereka buntu dan tidak tahu untuk bertindak dan mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.

Beliau berpendapat perkara sedemikian memperlihatkan bahawa waris juga memerlukan sesi khidmat kaunseling dalam mendidik dan membentuk anak-anak di rumah.

"Contohnya apabila anak terjebak dengan dadah, menjadi ganas, menghidu gam dan bertindak di luar batasan, ibu bapa mula takut untuk bertindak."

Berdasarkan pengalamannya, Dr Yahya melihat ada ibu bapa yang tidak mahu mengambil tindakan kerana malu dengan masyarakat, takut anak-anak bertindak nekad melarikan diri dari rumah, takut ditangkap polis, dipenjarakan dan sebagainya.

Dalam hal ini, ibu bapa begini perlu dibantu kerana kasih sayang membuatkan mereka buta hingga tidak tahu membuat keputusan. Selain ibu bapa dan guru, masyarakat dan persekitaran turut mempengaruhi perkembangan anak-anak.

Bagi Dr Yahya, mendidik memerlukan kesabaran, kasih sayang, perhatian, dorongan, motivasi, bimbingan dan sebagainya secara kerap dan berterusan.

Ibu bapa perlu memahami proses, keperluan dan kehendak mereka untuk membentuk anak yang cemerlang.

-- BERNAMA