MEMETIK laporan akhbar bertarikh 22 Mac 2009, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, terdapat kira-kira 100,000 orang, majoritinya belia India terlibat dalam kegiatan gengsterisme.
Kenyataan itu bagaimanapun disangkal oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan. Ekoran masalah itu juga, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melahirkan hasrat untuk mengadakan program khas bagi menangani masalah tersebut.
Namun tiada ada yang berlaku dan selepas senyap seketika, isu belia India terlibat dalam kegiatan gengsterisme hangat diperkatakan semula. Ia ekoran kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain pada awal bulan ini. Kematian keempat-empat mangsa itu dikaitkan dengan gengster India yang dikepalai oleh seorang peguam bergelar Datuk.
Terbaru, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaman Khan berkata kumpulan gengster India mampu bertindak ganas dan kejam berdasarkan beberapa kes yang berlaku sekitar tahun 1980-an.
Berbanding gengster kaum lain, katanya kumpulan samseng yang dianggotai kaum India sering bertindak kejam terhadap mangsa termasuk melakukan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan.
Contoh kekejaman yang pernah dilakukan oleh kumpulan gengster India yang pernah mendapat liputan meluas media pada sekitar tahun 1990-an adalah Bentong Kali yang melakukan rompakan dan membunuh mangsa, selain sebuah kumpulan remaja kaum India yang menggelarkan diri mereka Geng Satu Hati.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor, M. Shaker Raj Ayenger melaporkan terdapat sekitar 300 belia India di Selangor ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dalam tempoh empat bulan tahun ini.
Mengulas isu tersebut, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, faktor ekonomi dan sosial dikenal pasti menjadi punca utama kenapa belia India banyak terlibat dalam kegiatan gengsterisme.
Menurutnya, kebanyakan belia India yang terlibat dalam kegiatan gengster berasal dari keluarga pekerja ladang yang tahap ekonominya rendah.
Katanya, mereka lahir dan membesar di kawasan ladang yang serba serbi kekurangan dan apabila tamat persekolahan menengah, mereka keluar ke pekan atau bandar untuk mencari pekerjaan.
"Apabila keluar dari kelompok ladang, tidak ada satu sistem sokongan sosial dan ekonomi yang boleh memastikan kehidupan mereka di luar kawasan ladang terjamin.
"Oleh kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pelajaran tinggi, ia menyukarkan mereka untuk memperoleh pekerjaan. Ia sekali gus membuatkan mereka mudah terjebak ke dalam kegiatan gengster untuk menjamin kehidupan mereka di luar kawasan ladang," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sivamurugan menegaskan, jika kerajaan mahu mengatasi masalah gengsterisme yang melibatkan belia India, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengatasi masalah sosial dan ekonomi masyarakat India terutama pekerja ladang yang masih berada pada tahap yang rendah.
Menurutnya, kedudukan ekonomi yang rendah itulah yang memaksa belia India mudah terjebak dengan kegiatan samseng dan apabila mula terlibat, mereka menjadi begitu taksub terhadap kumpulan.
"Sebelum diiktiraf sebagai ahli kumpulan, ada pendekatan tertentu yang mesti dilakukan, misalnya mengangkat sumpah atau berikrar untuk menjaga kumpulan walau apa pun terjadi.
"Ketaksuban inilah yang menyebabkan mereka sanggup melakukan apa saja suruhan sehingga hilang pertimbangan dan lebih dahsyat, ada yang sanggup melakukan perbuatan yang terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Misalnya, dalam kes Sosilawati, pekerja ladang itu terlalu taksub terhadap majikan (suspek utama) dan ia membuatkan mereka sanggup melakukan apa saja untuk 'mempertahankan' tindakan atau arahan majikan mereka," ujarnya.
Beliau yang menganggap isu gengsterisme dalam kalangan belia India hari ini begitu kronik dan berada pada tahap yang membimbangkan mahu pelbagai pihak berikhtiar dan berusaha membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Ini termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, parti politik, kementerian berkaitan dan polis yang diharap dapat menggerakkan usaha demi menyedarkan masyarakat India bahawa kerajaan ada menyediakan kemudahan seperti latihan dan kursus jangka pendek untuk membangunkan ekonomi mereka.
"Tidak ada maklumat yang sampai di ladang untuk memberitahu mereka tentang perkara tersebut. Ini menyebabkan mereka seolah-olah hilang arah apabila berhijrah ke bandar," katanya.
Menurutnya, peranan ibu bapa keluarga India di ladang juga mesti dipertingkatkan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dalam kegiatan samseng.
Antara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah mengawal anak-anak agar tidak terlalu kerap menonton filem-filem Tamil yang mempromosikan arak, seks bebas dan gengsterisme.
"Kajian mendapati aksi ganas dalam filem Tamil boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk mengikutnya," katanya.
Ini ditegaskan lagi oleh hasil kajian sarjana komunikasi Barat seperti Albert Bandura yang membuktikan filem boleh memberikan kesan langsung kepada penonton terutamanya golongan muda.
Selain itu, kebimbangan terhadap berleluasanya gengsterisme dalam kaum India pernah menarik perhatian seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai Edwin Michael dari Pusat Pengajian Komunikasi USM. Dalam ruangan Forum akhbar ini bertarikh 29 Januari 2008, Edwin melahirkan kebimbangan terhadap penayangan filem-filem Tamil yang berunsurkan keganasan di RTM (TV2).
Menurutnya, sesetengah filem Tamil secara nyata mempromosikan elemen gengsterisme dan bunuh diri sebagai apa jua penyelesaian dalam sesuatu masalah. Misalnya filem bertajuk Bheema yang jelas mempromosikan arak, seks bebas dan gengsterisme.
Beliau bimbang kerana aksi seperti mengambil alkohol dan kemudian bergaduh dalam filem Tamil seolah-olah telah menjadi satu kemestian yang harus dipaparkan.
No comments:
Post a Comment